04 Feb 2025
Kerajaan Negeri komited memperkukuhkan industri halal dan menjadikan Johor sebagai hab halal utama di peringkat nasional serta antarabangsa menerusi Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor (PKHNJ) 2030.
Pelan yang sedang dibangunkan oleh PIJ Holdings Sdn Bhd (PIJ Holdings) dengan kerjasama PricewaterhouseCoopers Advisory Sdn. Bhd. (PwC) itu melibatkan tujuh komponen iaitu pensijilan halal, produk atau perkhidmatan halal, pasaran halal, pemantauan halal, infrastruktur halal, kapasiti halal serta digital halal.
Dengan peningkatan permintaan terhadap pasaran halal merangkumi industri makanan, kosmetik dan pelancongan, pelan yang merupakan inisiatif Belanjawan Johor 2025 itu bakal memberi manfaat seterusnya menjadikan Johor sebagai hab halal global.
Dalam Belanjawan Johor 2025, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM800,000 bagi membangunkan PKHNJ 2030 untuk merancakkan industri halal di negeri ini, khususnya dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Terdahulu, YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor hadir ke Sesi Libat Urus Bersama Pihak Berkepentingan dan Pemain Industri Halal Bagi Penyediaan PKHNJ 2030, petang tadi.
Turut hadir, YBhg Hajah Shubanah Yusuf, Pengurus Besar Perbadanan Islam Johor; YBhg. Encik Abdul Malik Ismail, Pengarah Urusan PIJ Holdings dan YBrs. Encik Wan Aminudin Aminin Wan Sulaiman, Pengurus PIJ Halal Ventures Sdn. Bhd.