Majlis Aspirasi & Penghargaan Tahun 2026


17 Nov 2026

Hari ini adalah hari yang sangat bermakna dan bersejarah apabila seramai 120 orang warga kerja berpeluang berkumpul dan bertemu secara langsung dengan YB Dato' Pengarah Urusan bagi mendengar amanat dan pesanan beliau sempena Majlis Aspirasi & Penghargaan Tahun 2026.

Di dalam ucapannya, YB Dato' Pengarah Urusan telah mengingatkan bahawa, kepentingan tadbir urus korporat yang baik adalah asas kepada pengurusan organisasi yang telus, berakauntabiliti dan berintegriti. Sebagai sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) milik kerajaan negeri, Kumpulan PIJ Holdings hendaklah sentiasa memastikan setiap keputusan, tindakan dan pengurusan organisasi dilaksanakan berlandaskan prinsip tadbir urus yang kukuh dan mengambil kira kepentingan semua pemegang taruh.

Beliau juga banyak menegaskan tentang kepentingan memelihara amanah dan integriti diri dalam setiap aspek pekerjaan. Kejujuran, komitmen dan kesungguhan dalam melaksanakan setiap tugasan mencerminkan integriti seseorang dan menjadi asas kepada pembentukan sebuah organisasi yang berwibawa serta dipercayai.

Sebagai sebuah GLC, beliau telah mengingatkan bahawa tanggungjawab yang dipikul bukan hanya kepada organisasi, malah amanah kepada Kerajaan Negeri Johor, pemegang taruh dan seluruh pihak yang meletakkan kepercayaan kepada Kumpulan PIJ Holdings. Justeru, setiap warga kerja perlu memahami peranan dan sumbangan masing-masing dalam memastikan organisasi ini terus relevan, berdaya saing serta mampu memberikan nilai dan manfaat kepada negeri.

Dalam masa yang sama, pencapaian prestasi, keupayaan menjana pendapatan dan memberikan pulangan kepada kerajaan negeri perlu terus menjadi keutamaan. Namun, usaha mencapai sasaran dan kejayaan perniagaan hendaklah sentiasa diseimbangkan dengan amalan tadbir urus yang baik, pengurusan risiko yang berkesan serta pemeliharaan nilai integriti dalam setiap keputusan dan tindakan.

Turut menjadi inspirasi adalah pesanan beliau bahawa setiap usaha, dedikasi dan sumbangan yang diberikan dengan penuh keikhlasan wajar dihargai dan diiktiraf.

Pesanan dan peringatan sebegini penting untuk terus disampaikan oleh barisan kepimpinan agar setiap warga kerja sentiasa sedar akan amanah, tanggungjawab dan peranan masing-masing dalam memastikan organisasi terus maju.

Semoga pertemuan ini menjadi suntikan semangat buat seluruh warga Kumpulan PIJ Holdings untuk terus melangkah dengan lebih yakin, bekerja dengan penuh integriti, memperkukuh prestasi dan bersama-sama menunaikan amanah yang diberikan demi kemajuan organisasi serta manfaat kepada Negeri Johor.