Cadangan Kerjasama Strategik JHDC-TLP


23 Oct 2026

Tanjung Langsat Port (TLP) melalui TLP Terminal Sdn. Bhd. telah menjadi tuan rumah bagi sesi pembentangan Cadangan Kerjasama Strategik JHDC–TLP yang berlangsung pada 22 Oktober 2026 (Khamis) bertempat di Langsat Marine Terminal, Pasir Gudang.

Yang Berbahagia Datuk Shahrull Allam Shah Abdul Halim, Pengarah Eksekutif TLP Terminal Sdn. Bhd., serta pengurusan tertinggi TLP Terminal menyambut ketibaan delegasi Halal Johor yang diketuai oleh Yang Berbahagia Dato’ Haji Ismail bin Haji Abu, Pengarah Urusan PIJ Holdings.

Turut hadir ialah Tuan Haji Mohd Taufik bin Dato’ Haji A. Shamsudin, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), serta Puan Hajah Rahmah binti Sukhairi, Pengurus JHDC, bersama Timbalan Pengurus dan pegawai kanan JHDC.

Pertemuan ini menjadi platform untuk membincangkan potensi kerjasama strategik dalam memperkukuh ekosistem industri halal Negeri Johor, khususnya melalui pembangunan rantaian bekalan dan logistik halal.

Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030 (PKHNJ 2030) dalam memperkasa ekosistem halal yang bersepadu, mampan dan berdaya saing, sekali gus membuka peluang kerjasama baharu antara pemain industri dan agensi berkaitan.

Bersama memperkukuh ekosistem halal Johor ke arah hab halal serantau.