Kenali PIJ Holdings


Sejarah Penubuhan PIJ Holdings

Pada 6 Mei 1976, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Johor (PKEINJ) telah ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Johor seperti yang termaktub di bawah Seksyen 18 (1) Enakmen Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Johor 1976 dan mula beroperasi pada 1 Januari 1977.

 

Seksyen 18 (1) Enakmen Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Johor 1976 (pindaan) 1993
"Adalah menjadi kewajipan Perbadanan bagi memajukan, menggalakkan, memudahkan dan menyelenggarakan kemajuan tanah, kemajuan pertanian, perumahan, perusahaan, perlombongan dan perdagangan bagi maksud-maksud memajukan ekonomi orang-orang Islam dalam Negeri Johor"

 

Pengkorporatan PKEINJ

Pada asalnya kesemua aktiviti bisnes dijalankan oleh PKEINJ, kemudian apabila PKEINJ telah dikorporatkan pada Januari 1995, kesemua aktiviti bisnes telah distruktur semula dan dipindahkan di bawah Perisind Holdings Sdn. Bhd. (Perisind Holdings).

Pengkorporatan ini bertujuan untuk mentransformasikan Perisind Holdings menjadi sebuah organisasi korporat pacuan pasaran melalui pengukuhan sistem pengurusan dan pentadbiran dalam melaksanakan aktiviti pembangunan bisnes dan sosio ekonomi untuk menjana ekonomi umat Islam.

Matlamat utama Perisind Holdings adalah untuk merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri Johor memperkasa dan memajukan sosioekonomi ummah termasuk memajukan, menggalakkan, memudahkan dan menyelenggarakan aktiviti-aktiviti kemajuan tanah, pertanian, perumahan, perusahaan, perlombongan dan perdagangan

Penjenamaan Semula Perisind Holdings
Kepada PIJ Holdings

Pada Ogos 2009, Perisind Holdings telah dijenamakan semula kepada PIJ Holdings selaras dengan pertukaran nama PKEINJ kepada Perbadanan Islam Johor (PIJ).

Kini, PIJ Holdings membuka lembaran baharu dan telah menerokai peluang-peluang baharu dalam pelbagai sektor yang mampu memberikan pulangan tinggi. Berikut merupakan aktiviti-aktiviti terkini yang diceburi Kumpulan PIJ Holdings:

  • Pembangunan & Pengurusan Hartanah
  • Pembangunan Bandar Minyak & Gas Pengerang (POGC)
  • Perladangan & Pertanian
  • Makanan
  • Penyediaan serta Penyeliaan Utiliti & Infra Telekomunikasi Negeri Johor
  • Pembuatan/Perindustrian
  • Pembangunan Aset/Sekolah Waqaf