Khidmat gunting rambut percuma kepada warga HSI

\

7 April 2020

JOHOR BAHRU – Kumpulan PIJ Holdings (PIJ Holdings) bekerjasama dengan Hospital Sultan Ismail (HSI) melalui inisiatif #PIJHoldingsPrihatin dengan mengadakan program gunting rambut percuma kepada petugas kesihatan HSI.

Program ini diadakan khas bagi menyokong dan menghargai barisan hadapan dalam mendepani wabak COVID-19.

Ianya bertujuan meningkatkan moral dan semangat petugas kesihatan dalam mendepani cabaran tugasan ketika COVID-19 melalui khidmat gunting rambut secara percuma kepada petugas lelaki dan wanita.

Pengarah Urusan PIJ Holdings, Abdul Rashid A Rahman berkata walaupun hanya sekadar guntingan rambut, namun impak sebenar adalah signifikan. 

Beliau menjelaskan, “Saya sendiri merasakan rimas apabila rambut mulai panjang, apatah lagi apabila memikirkan nasib barisan hadapan petugas kesihatan yang terpaksa menyarung berlapis-lapis PPE (Personal Protective Equipment) seluruh tubuh, ianya pasti panas dan kurang selesa”.

Beliau menambah, “Program ini terhasil daripada hubungan erat dengan pihak hospital, HSI menyatakan hasrat betapa program ini dapat membantu mereka kerana tiada kedai gunting rambut dibuka, jadi kami sahut tanggungjawab itu dan membawakan “kedai gunting rambut” kepada mereka. Alhamdulillah respons diterima daripada petugas HSI amat positif”.

Program yang berlangsung selama 3 hari bermula pada 7 April 2020 membantu kira-kira lebih 300 orang warga HSI.

Program ini turut disokong Persatuan Doktor-doktor Johor dan dibantu oleh Pertubuhan Kebajikan Pertama Johor Bahru.

#StayAtHome
#DudukRumah
#PIJHoldingsPrihatin
#KitaJagaKita